Nadwah Ulama Antarabangsa yang melibatkan
penyertaan aktif 10 wakil dari rantau Asia dan Timur Tengah telah
meluluskan 10 resolusi penting hari ini.
Nadwah anjuran Kerajaan Negeri Kelantan
dengan kerjasama Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) itu telah
berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC).
Ia berobjektif menghimpunankan organisasi
dan para daie rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah serta membangkitkan
kesedaran terhadap keperluan kesepaduan gerak kerja dakwah.
Nadwah kali ini menampilkan kelainan dari
sudut format yang merangkumi pembentangan kertas kerja, pidato, forum
dan sesi soal jawab.
Resolusi yang diisytiharkan itu menjadi simbol kesepaduan perbincangan yang telah berlangsung selama 3 hari.
Resolusi yang disepakati itu telah dibacakan oleh Pengerusi Nadwah Ulama, Ustaz Dato Dr Nik Zawawi Salleh.
Berikut adalah resolusi yang tersebut:
1. Mewujudkan Kesatuan Ulama
Asia dan Timur Jauh yang berpusat di Kuala Lumpur untuk menyelaraskan
isu-isu yang berkaitan umat Islam.
2. Mewujudkan permuafakatan
antara negara minoriti dengan negara majoriti Muslim agar kekuatan Islam
dapat digarap secara berkesan dan sekali gus dapat menaungi umat Islam
yang lemah.
3. Memastikan segala isu dan
permasalahan dalam setiap negara Islam dan umat Islam tidak perlu
dilibatkan campur tangan pihak luar (negara Barat) dalam menanganinya.
4. Mempelopori usaha untuk
mengharmonikan isu-isu khilafiyyah di kalangan masyarakat supaya tidak
memberi ruang kepada musuh memecahbelahkan kesatuan umat Islam.
5. Mempergiatkan pengembangan ilmu Islam di kalangan masyarakat di negara masing-masing dengan pelbagai wasilah yang ada.
6. Mengambil inisiatif yang
bersungguh-sungguh untuk melahirkan ulama pelapis yang akan mewarisi
kepimpinan ulama di seluruh negara rantau Asia.
7. Menangani permasalahan dan
isu umat Islam yang ditindas di negara-negara minoriti Muslim seperti
Chechnya, Pattani, Rohingya, Kasymir, wilayah Xingjang dan lain-lain.
8. Mengecam sekeras-kerasnya
tindakan terkutuk yang telah dilakukan oleh rejim Zionis Yahudi dengan
penutupan Masjidil Aqsa yang bertujuan untuk meroboh dan memusnahkannya.
9. Memahamkan masyarakat
khasnya umat Islam bahawa Islam adalah agama pembawa kesejahteraan dan
kesederhanaan ke arah mengekang pengaruh radikalisme dalam kalangan umat
Islam.
10. Mengembleng tenaga ulama untuk mengembalikan peradaban Islam rantau ini sebagai model peradaban Islam sejagat.
Bacaan oleh beliau itu disambut dengan gema
laungan takbir oleh para peserta tanda mempersetujui semua resolusi
yang telah disytihar.
Sumber : Nadwah Ulama Lulus 10 Resolusi
Sumber : Nadwah Ulama Lulus 10 Resolusi
No comments:
Post a Comment
Terima kasih diatas teguran dan idea anda