KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM SEK RENDAH


Pengajaran yang berkesan adalah hasil usaha seorang guru yang berjaya dalam mengaplikasikan pelbagai pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. Pemilihan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang sesuai adalah penting untuk menghasilkan persediaan mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam yang lengkap dan berkesan.
        Pemilihan kaedah yang betul umpamanya memainkan peranan yang penting bagi menjamin kelancaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran harian seorang guru.
Kepentingan untuk memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran menjadi satu faktor penting kepada keberkesanan pengajaran yang disampaikan kepada para pelajar selain daripada bakat dan ketokohan seseorang guru dalam sesuatu disiplin termasuk Pendidikan Islam. Keperluan kepada kepelbagaian kaedah dapat menarik minat pelajar kepada sesuatu mata pelajaran sehingga mampu mendorong mereka mencapai pencapaian terbaik.
Oleh itu, tumpuan utama yang akan dikupas dalam penulisan ini ialah berkaitan pengertian kaedah itu sendiri dan beberapa contoh kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk subjek Pendidikan Islam Sekolah Rendah yang merangkumi bidang Asuhan Tilawah al-Quran, Asas Ulum Syar’iyyah, Adab dan Akhlak Islamiah serta Pelajaran Jawi.


KAEDAH TALAQQI MUSYAFAHAH

Kaedah Talaqqi Musyafahah ialah kaedah mempelajari bacaan al-Quran yang tertua dan dipraktikkan oleh Jibril a.s kepada Rasulullah s.a.w. Caranya ialah Jibril a.s membaca ayat suci al-Quran kemudian Rasulullah meniru bacaan tersebut dengan diperhatikan oleh Jibril. Setelah itu Rasulullah s.a.w terus menghafal ayat berkenaan.[5] Sebagaimana firman Allah s.w.t:
إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ {17} فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ {18}
Maksudnya:
Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu). Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.
 Terjemahan Surah al-Qiyamah (75): 17 - 18
Seterusnya Rasulullah s.a.w membacakan kepada para sahabat, para sahabat pula meniru bacaan Rasulullah s.a.w kemudian diminta dituliskan, seterusnya tulisan itu dibacakan dan dihafalkan. Dalam kaedah Talaqqi Musyafahah, murid yang mempelajari al-Quran mesti berhadapan secara langsung kepada gurunya. Faktor ini amat ditekankan supaya murid tahu betul secara amali bagaimana pelaksanaan semua hukum-hukum tajwid dalam bacaan yang meliputi makhraj dan sifat huruf serta hukum-hukum tajwid yang lain.
Definisi
Merujuk kepada kalimah talaqqi dan musyafahah, kedua-duanya berasal dari kalimah bahasa Arab. Talaqqi pada bahasa iaitu pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Dari sudut istilah pula bermaksud pertemuan antara guru dan murid secara bersemuka.
            Manakala kalimah musyafahah pada bahasa ialah sebutan daripada mulut ke mulut yang diambil dari pergerakan dua bibir. Dari sudut istilah membawa maksud murid menerima pengajaran secara dengan sebutan guru, melihat pergerakan bibir guru dan menyebutnya (mengikutnya).
            Apa yang boleh difahami daripada makna kedua-dua kalimah ini ialah murid bertemu atau bersemuka secara berhadapan dengan guru untuk mendengar bacaan guru sambil memerhatikan pergerakan bibir guru semasa menyebut kalimah atau ayat al-Quran dengan sebutan yang fasih dan betul. Seterusnya, murid pula membaca seperti guru membaca di samping guru membetulkan sebutan dan bacaan murid tersebut.
Objektif
a>    Menyebut bunyi huruf hijaiyyah yang berbaris dengan tepat.
b>    Membezakan panjang/pendek sebutan huruf.
c>    Membaca dengan betul dan fasih.
>>    Yakin dan berani mencuba di hadapan guru.
Prinsip Kaedah Talaqqi Musyafahah
Pelaksanaan kaedah Talaqqi Musyafahah ini mestilah berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan. Pertama, mengutamakan sebutan dan bacaan yang tepat. Guru memainkan peranan yang penting dalam menjayakan prinsip pertama kaedah ini. Seorang guru itu perlu menguasai kemahiran bacaan al-Quran yang baik meliputi sebutan makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan lain-lain hukum tajwid supaya dapat menyampaikan dengan sebutan dan bacaan yang tepat.
            Prinsip kedua, memerhati pergerakan mulut guru secara berdepan (bersemuka). Murid haruslah memberi tumpuan dan fokus pada pergerakan bibir guru apabila berada di hadapan guru. Dengan cara ini, murid dapat melihat sendiri cara guru melontarkan bacaannya sama ada dengan keadaan bibir mulut tertutup, terbuka, muncung dan lain-lain lagi.
            Seterusnya, prinsip ketiga dalam kaedah Talaqqi Musyafahah adalah murid menyebut (mengikut) cara sebutan guru. Apabila murid telah mendengar dan melihat bagaimana cara sebutan yang tepat melalui pergerakan bibir guru, maka dengan mudah murid tersebut dapat menyebut (mengikut).
Prinsip keempat iaitu kelemahan contoh bacaan daripada guru memberi kesan besar kepada murid. Sebutan dan bacaan seorang guru akan menjadi ikutan pada muridnya. Sekiranya, apa yang diungkapkan guru tidak menepati syarat pelaksanaan semua hukum-hukum tajwid dalam bacaan maka akan memberi kesan negatif pada bacaan murid kelak.
Prosedur Pelaksanaan Kaedah Talaqqi Musyafahah
Secara umumnya, prosedur melaksanakan kaedah Talaqqi Musyafahah ini ianya merangkumi 4 langkah seperti yang berikut:

Guru membaca bacaan contoh kepada seorang atau beberapa orang murid

Murid mengikut bacaan guru

Guru meminta seorang atau beberapa orang murid membaca di hadapan guru

Guru mendengar dan menilai bacaan murid

Bagi langkah pertama iaitu guru membaca bacaan contoh kepada seorang atau beberapa orang murid. Apa yang dimaksudkan di sini ialah guru memperdengarkan bacaan al-Quran dari bacaan guru sendiri supaya murid dapat memerhatikan pergerakan bibir dan sebutan guru. Guru boleh mempamerkan ayat-ayat dari surah yang diajar melalui LCD, kad carta atau kad manila. Setelah mempamerkan ayat-ayat tersebut, guru membaca ayat-ayat tersebut dan meminta pelajar mengikut bacaan guru. Bagi murid yang lemah, guru boleh membaca bacaan contoh secara potongan ayat. Maksudnya, guru tersebut akan membaca ayat demi ayat supaya murid dapat mengikutinya.
            Langkah kedua iaitu murid mengikut bacaan guru. Setelah murid diperdengarkan dengan bacaan guru, murid diminta untuk mengikut bacaan guru secara kelas, kumpulan ataupun individu. Semasa murid membaca ayat, guru perlu memerhati dan mendengar dengan teliti sebutan murid untuk mengesan murid yang dapat membaca dan murid yang masih belum boleh menguasai bacaan.
Seterusnya langkah ketiga iaitu guru meminta seorang atau beberapa orang murid membaca di hadapan guru. Setelah guru berpuas hati dengan mutu bacaan murid secara kelas, guru meminta murid membaca ayat-ayat tersebut di hadapan guru pula secara individu mengikut giliran. Ketika ini, guru perlu memastikan murid dapat membaca ayat dengan betul dan fasih.
Langkah yang terakhir dalam kaedah Talaqqi Musyafahah ini ialah guru mendengar dan menilai bacaan murid. Apabila guru telah menilai bacaan murid secara individu, guru boleh menguji bacaan murid dengan meminta murid tersebut yang telah betul bacaannya dari segi makhraj dan tajwid, memperdengarkan bacaan di hadapan kelas jika perlu.

KAEDAH TASMIK
Kaedah Tasmik adalah salah satu dari kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dalam bidang asuhan Tilawah al-Quran. Dalam kaedah Tasmik ini, murid diminta membaca manakala guru akan mendengar. Ianya bertepatan dengan maksud Tasmik itu sendiri yang bererti mendengar yang diambil dari perkataan bahasa Arab.
            Kaedah Tasmik bacaan al-Quran sesuai digunakan bagi ayat tilawah dan ayat hafazan. Seorang murid diminta membaca ayat al-Quran di hadapan guru. Jika terdapat kesalahan, guru akan memperbetulkan. Selepas itu, murid boleh ditanya mengenai hukum-hukum bacaan atau tajwid dan maksud tanda-tanda bacaan dalam ayat yang dibaca. Tujuan utama kaedah ini digunakan adalah untuk menguji tahap pencapaian setiap murid dalam penguasaan bacaan dan hafazan al-Quran.
Objektif
>  Mengetahui pencapaian murid.
> Kenal pasti tahap pencapaian.
      >  Menyedarkan kesilapan bacaan.
>  Meningkatkan kemahiran individu.
>  Mengklasifikasikan murid mengikut pencapaian.
Prosedur Pelaksanaan Kaedah Tasmik
Cara pelaksanaan kaedah tasmik, ialah murid diminta membaca ayat yang ditentukan oleh guru dengan suara yang kuat (jahar) atau nyaring, di hadapan guru sama ada secara kumpulan atau individu bergilir-gilir. Guru mendengar bacaan atau hafazan murid dengan teliti supaya dapat mengesan kesilapan yang dilakukan oleh murid dalam bacaannya.
Jika terdapat kesalahan, guru akan memperbetulkan kesalahan murid tersebut. Untuk menentukan pelajar menguasai tajwid, guru boleh menyoal pelajar tentang hukum bacaan atau hukum tajwid dan maksud tanda-tanda bacaan dalam ayat yang dibaca.
Kaedah tasmik sangat sesuai diaplikasikan dalam bidang Asuhan Tilawah al-Quran bahagian ayat bacaan. Melalui kaedah ini guru dapat mengesan dengan cepat penguasaan pelajar terhadap ayat bacaan yang diajar.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas teguran dan idea anda

T uan,     MEMOHON SUMBANGAN BAHAN MENTAH Dengan segala hormatnya merujuk perkara di atas. 2.            Untuk makluman Tuan, ...