Pengajaran yang
berkesan adalah hasil usaha seorang guru yang berjaya dalam mengaplikasikan
pelbagai pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran
yang sesuai. Pemilihan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang sesuai
adalah penting untuk menghasilkan persediaan mengajar mata pelajaran Pendidikan
Islam yang lengkap dan berkesan.
Pemilihan kaedah yang betul umpamanya
memainkan peranan yang penting bagi menjamin kelancaran dalam proses pengajaran
dan pembelajaran harian seorang guru.
Kepentingan untuk
memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran menjadi satu faktor penting kepada
keberkesanan pengajaran yang disampaikan kepada para pelajar selain daripada
bakat dan ketokohan seseorang guru dalam sesuatu disiplin termasuk Pendidikan
Islam. Keperluan kepada kepelbagaian kaedah dapat menarik minat pelajar kepada
sesuatu mata pelajaran sehingga mampu mendorong mereka mencapai pencapaian
terbaik.
Oleh itu, tumpuan utama yang
akan dikupas dalam penulisan ini ialah berkaitan pengertian kaedah itu sendiri
dan beberapa contoh kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk subjek
Pendidikan Islam Sekolah Rendah yang merangkumi bidang Asuhan Tilawah
al-Quran, Asas Ulum Syar’iyyah, Adab dan Akhlak Islamiah serta Pelajaran Jawi.