SRITI Optimis Lahirkan Ilmuwan Islam Berkualiti

SRITI wajar menjadi pilihan ibu bapa dalam membina pendidikan anak-anak kerana di dalamnya bukan sekadar membina pendidikan akademik akan tetapi pendidikan agama dengan asas kefahaman yang selari dengan fikrah Islamiah.

Ia adalah satu acuan bagi melahirkan penuntut ilmu yang menerapkan nilai nilai Islam dalam kehidupan seharian pelajar sehingga amalan tersebut menjadi tabiat atau kebiasaannya. Pengarah SRITI Negeri Perak, Ustaz Muhammad Mujahid Mohd Fadzil berkata demikian bahkan menurutnya hafalan al Quran dan Hadis juga dijadikan sebahagian penerapan sebagai bekalan asas kepada pelajar-pelajar.

Mujahid memaklumkan untuk sesi 2017 sekitar sebanyak 10 buah SRITI telah mula beroperasi dengan baik serta menerima pendaftaran pelajar. Jelasnya, perancangan jangkamasa panjang adalah memastikan SRITI menjadi pilihan masyarakat sebagai lanjutan PASTI dalam melahirkan pelapis-pelapis untuk menegakkan Islam melalui institusi pendidikan.




"Saya berharap agar para penggerak SRITI di seluruh Perak dapat beristiqamah dalam melahirkan kader kader dakwah seawal bangku sekolah lagi. "Ikhlaskan niat dalam melakukan tugasan ini, dan menyerahkan segala keputusan itu pada Allah.

"Sabar dalam menghadapi ujian dan kepayahan kerana hasilnya bukanlah setahun dua bahkan makan belasan dan puluhan tahun.

"Lihatlah para pelapis yang lahir dari madrasah dan pondok selama puluhan tahun, mereka menjadi benteng hadapan gerakan Islam pada hari ini. "Kalau dahulu tugasan ini dilakukan secara individu oleh para ilmuan veteran dalam PAS, namun kini ia telah digagaskan secara rasmi dan selaras di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia," katanya.
Beliau berkata, SRITI Perak menerapkan nilai kebersamaan antara penggerak penggerak SRITI dengan bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman dalam bidang pendidikan dijadikan rujukan serta menjadikan perkongsian kepada mereka yang baru menceburi bidang pendidikan.

Budaya saling berkongsi dan bertukar fikiran menjadi asas dalam organisasi serta elemen kefahaman juga menjadi asas dalam pembinaan SRITI Perak. Tambahnya, memahami matlamat dan sebab perlu wujudnya SRITI justeru dengan kefahaman mendalam tersebut dizahirkan melalui perbuatan yang diikat dengan kesungguhan para penggeraknya. "Dalam menggerakkan SRITI kami melalui pengalaman pengalaman manis yang cukup memberi bekas.


Bermula dengan lontaran idea untuk menubuhkan sekolah di bawah Dewan Pemuda PAS Perak, kemudian berkembang kepada membina rangkaian rangkaian sekolah yang dinamakan RIBAT (Rangkaian Institusi Pendidikan dan Tarbiah), sehinggalah penetapan Dewan Pemuda PAS Malaysia bagi mewujudkan sekolah dan rangkaian yang khusus yang dinamakan SRITI.

"Para Penggerak SRITI Perak sudah lebih awal menyedari keperluan ini lalu melakukan beberapa inisiatif dalam membina sebuah jaringan dan rangkaian kebersamaan dalam membina kekuatan antara para penggerak sekolah. "Alhamdulillah segala keperitan dan susah payah yang ditanggung bersama ini, membuahkan hasil apabila peningkatan bilangan SRITI daripada Sesi 2016 sebanyak 3 buah kepada 10 buah pada Sesi 2017," ujarnya berkongsi pengalaman pada awal usaha menubuhkan SRITI.
Berkaitan sumber Kewangan SRITI, beliau menyatakan ia berpaksikan kepada kepakaran PAS Kawasan dalam menjana pendapatan sehingga ada dalam kalangan mereka berniaga, melalui sumbangan, pengajian dan sebagainya. Beliau berpandangan silibus SRITI berbeza dengan silibus pusat pengajian lain ialah dari sudut lanjutan, gabungan dan keunikan kerana SRITI secara khususnya merupakan Lanjutan bagi pendidikan PASTI yang bilangan pelajarnya seluruh Perak melebihi 8000 orang.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas teguran dan idea anda